Pages

Monday 27 April 2015

Ini Kisah Cintaku

Derapan kaki ku relakan di atas jalan bumi maahadku. Sebelum pulang ke asrama, aku labuhkan diri di atas kerusi kelas sebentar. Kelas sunyi. Jam pula tepat jam 6 petang. Beginilah rutin harianku. Memikirkan amanah ilmu dan tanggungjawab. Sejauh manakah aku laksanakan ? Muka ditekup. Buntu keseorangan. Besar amanah Allah Taala ini.

Dalam kebisuan suasana, terfikirkan masa depanku. Mana arahnya ? Suatu soalan yang sekian lama bermain di fikiran. Ruang jawapan masih belum diisi. SPM hampir tiba. Sahabat seperjuangan hampir kesemuanya ada cita-cita. Sedangkan aku masih mencari, masih menunggu ruang jawapan dilengkapkan. Namun, aku hanya berserah kepadaNya. Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya ini.




****

Hari keputusan SPM telah tiba. Sahabatku resah selagi kertas lut cahaya itu belum sampai di tangan. Aku disisi ibuku. Menolak resah ketepi. Yakin dengan janji dan nikmat Allah atas apa keputusan sekalipun.

Keputusan akhirnya diperoleh. Aku tatap slip itu. Cuba mencari jawapan didalamnya tapi tetap tidak jumpa. Sahabat tidak putus mengucapkan tahniah kepadaku sedangkan keputusanku tidak sehebat mana. Soalan demi soalan ditanya kepadaku. 

Satu soalan yang aku tidak terjawab, soalan tentang masa depanku. Jawapan yang mampu aku berikan hanyalah ukiran senyuman pada yang bertanya. Maaf, jawapan masih belum diterima. Keluarga maahad ramai menyarankan universiti-universiti tempatan mahupun dunia. Para asatizah menggalakkan aku mengisi borang melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah. Disarankan ke Morocco. Aku masih buntu. Cuba mencari situasi lain daripada terus memikirkan ketetapan Allah. 

****

Borang kemasukan ke universiti diisi. Namun peliknya, hati rasa berat sekali untuk mengisinya tapi terpaksa direlakan. Sahabat tidak putus meyakinkan. Bukan apa, aku nampak dunia padanya. Bukan ini jawapan yang aku mahu dalam hidupku.

Aku cuba telusuri laman sesawang. Kolej Islam As Sofa. Sekali namamu disebut, seakan satu cahaya memancar pada hatiku. Sesuci namanya. Aku mencuba nasib mengisi borangnya. Lantas fikiranku mengimbau ketika aku di Tingkatan 4.

Ibuku pernah membeli CD dari Yayasan Sofa Negeri Sembilan. Aku pernah bertanyakan kepada ibu, Yayasan Sofa ini apa ? Kata ibuku, yayasan Islam yang beraqidahkan Ahli Sunnah wal Jamaah. Kelebihannya, yayasan ini ada Syeikh yang menaunginya. Lantas hati terdetik, alangkah indahnya andai aku terpilih menjadi anak muridnya.

Wajah komputer riba masih terpancar. Aku berharap kolej ini ada kaitan dengan yayasan tersebut. Bila diselidiki, ya. Ini kolej mereka. Masih berserah menunggu tawaran.

****

Bunyi mesej kedengaran. Apabila dibaca, syukur ditawarkan ke kolej tersebut. Meskipun ramai sahabat maahad memandang enteng dengan keputusanku. Tidak kurang daripada saudara-mara. Namun itu bukan penghalang untukku teruskan impian ini. Aku cuba menguatkan keyakinan bahawa Allah Taala lebih mengetahui apa yang terbaik untukku. Jawapan yang ditagih seakan hampir dipenuhi. Kerja sebagai guru terpaksa aku hentikan demi menyahut seruan jihad ilmu di wilayah As Sofa. Jihad ilmu ini bakal diteruskan. Namun dalam dunia yang baru.

****

Melangkah ke Dataran Sentral, Seremban. Aku cuba amati suasananya. Tenangnya, lebih tenang dari biasa. Damainya indah sekali. Aku sudah jatuh hati dengan tempat ini. Memulakan Kursus Bahasa selama sebulan di sini.

****

Sahabat baru sibuk bercerita tentang kehebatan pengasas As Sofa, Dato' Syeikh Muhammad Fuad Bin Kamaludin Al Muhammadi. Luar biasa sekali perjalanan ilmunya. Alangkah indahnya andai dapat bersua muka.

Dalam perjalanan ke asrama dengan sahabat, aku rasakan ada pandangan yang sedang memerhati dari jauh. Cuba abaikan. Mungkin sangkaan aku sahaja. Akhirnya aku ternampak kelibat Syeikh sedang memerhatikanku dan sahabatku yang lain. Telefon bimbit ditangan, jatuh berderai di atas jalan. Ku kutip lalu pantas ke asrama. Apakah petanda ini ya Allah ? Benarkah atau imaginasi aku sahaja ? Cuba redakan hati. 

****

Kini, aku masih di wilayah ini. Bakal menamatkan pengajian dan akan terus berada disini, bersama-sama mencapai misi. Lorong masa hadapanku telah tersuluh luas dan terang. Apa lagi aku mahu dalam hidupku selain kebahagiaan hidup dalam biah mahabbah dan ilmu ini. Dihiasi kunjungan dan keberadaan masyaikh selalu. Meski baru dua tahun melayari hidup dalam dunia baru ini, aku rasakan ini adalah satu permulaan hidup yang baru. Terlalu banyak untukku kongsikan satu persatu pengalamannya.




Inilah kisah cintaku. Cinta kepada Allah Taala. Cinta kepada Rasulullah. Cinta kepada ilmu. Jawapan untukku sudah lengkap dijawab. Syukur Ya Allah.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.